KUCHING, 14 Ogos - Basikal berharga hampir RM50,000 berjaya membantu pelumba Perak, Nyo Ci Hui meraih pingat emas dalam acara berbasikal lebuh raya ujian masa individu wanita, hari ini.
Perlumbaan yang berlangsung di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem menyaksikan Ci Hui muncul terpantas dalam saingan melibatkan jarak sejauh 28.3 kilometer.
Beliau menamatkan saingan akhir tersebut dengan catatan masa 41 minit 10.793 saat untuk meraih pingat emas.
Menurut Ci Hui, basikal jenama dari Sepanyol itu memainkan peranan besar membantu kemenangan pada aksi hari ini.
"Saya tak sangka akan menang sebab ada kawan yang lagi baik daripada saya, tapi saya teruskan juga perjugangan untuk negeri Perak.
"Akhirnya saya telah mencapai matlamat untuk mendapat pingat emas. Saya amat menghargai negeri Perak kerana basikal berharga RM50,000 ini," katanya kepada RTM hari ini.
Pingat perak menjadi milik Pelumba Wilayah Persekutuan Yeong Zhen Yi manakala Nur Fitrah Shaari dari Kedah sekadar berpuas hati dengan gangsa.
Ci Hui berusia 20 tahun menyumpang pingat emas pertama buat kontinjen Perak menerusi acara ujian masa individu wanita.
Sementara itu, dalam saingan sama kategori lelaki pula menyaksikan Terengganu berjaya mempertahankan pingat emas menerusi Kee Zhe Yie.
Pada aksi final, Zhe Yie mengungguli acara tersebut dengan catatan masa 48 minit 23.880 saat.
"Saya memang sasarkan untuk meraih pingat emas dari SUKMA KL, saya cakap pada diri sendiri saya nak dapat pingat emas," katanya.
Zhe Yie yang juga pemenang pingat perak SUKMA edisi lalu, akui kemenangan kemenangan tersebut menyemarakkan semangatnya untuk terus melakar kecemerlangan.
Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem menjadi pentas utama acara berbasikal lebuh raya yang menawarkan lapan emas pada edisi ke-21 kali ini.