fb fb fb fb fb

SUKMA: Pasukan Pelayaran Kedah sasar empat pingat emas

FOTO FAIL

LANGKAWI, 4 Ogos - Pasukan Pelayaran Kedah menyasarkan empat pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Ketika ini seramai 14 orang atlet sedang membuat persiapan dengan menjalani latihan intensif di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Kelibang, di sini.

Menurut Ketua jurulatih Pasukan Pelayaran Kedah Sahril Abdul Razak, SUKMA kali ini pasukan Kedah akan menyertai 11 acara sukan pelayaran daripada 14 acara keseluruhan.

Kata beliau, empat acara yang bakal menghasilkan pingat emas adalah Optimist, ILCA 4, International 420 dan RS One dengan kesemuanya bagi kategori lelaki.

"Kita telah membuat persiapan dua tahun selepas SUKMA yang lepas, atlet yang kita latih sekarang, Alhamdulillah memberi komitmen dan keputusan yang sangat baik daripada kejohanan-kejohanan yang lepas," kata Sahril.

Beliau ditemui pemberita di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Kelibang, di sini.

Shahril berkata, pasukan pelayaran Kedah turut diwakili beberapa pelayar kebangsaan yang berpengalaman termasuk acara RS One Lelaki iaitu Izry Hafiezy Fitri Azri yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea Kemboja 2023.

Skuad pelayaran Kedah akan berkampung mulai 5 Ogos ini di Miri, Sarawak untuk menjalani latihan serta menyesuaikan diri dengan keadaan angin dan ombak di lokasi pertandingan.

TETITIA YUSOFF