fb fb fb fb fb

Sukma 2024: Perak sasar kedudukan lima terbaik

Foto RTM

IPOH, 4 Ogos-Slogan "Silver to Gold" menjadi misi kontinjen Perak bagi mengharungi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang akan berlangsung bermula 17 hingga 24 ogos nanti.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, slogan tersebut bukan sekadar misi meningkatkan pencapaian kontinjen Perak berbanding edisi sebelumnya tetapi merupakan hasrat untuk menggondol lebih banyak pungutan pingat emas.

Seramai 777 atlet negeri itu akan mengalas tanggungjawab tersebut dengan menyasarkan 35 pingat emas dan kedudukan lima terbaik pada Sukma kali ini.

"Dalam usaha itu, kita meletakkan harapan yang tinggi terutamanya dalam sukan Judo, Silat, Kabaddi, Silambam, Muay Thai, Kriket dan Hoki. tetapi ini bukan bermakna acara-acara lain tidak penting", kata Saarani yang ditemui media pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan Perak, Khairuddin Abu Hanifah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Mazlan Mohamad.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim dilantik sebagai Chef De Mission kontinjen Perak ke temasya sukan berkenaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD