fb fb fb fb fb

Kontinjen Perak cuba memenuhi misi 'Silver to Gold' pada SUKMA 2024

Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 4 Ogos- Slogan 'Silver to Gold' menjadi misi kontinjen Perak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, slogan tersebut bukan sekadar misi meningkatkan pencapaian kontinjen berbanding edisi sebelumnya tetapi merupakan satu hasrat untuk memperoleh lebih banyak pungutan pingat emas.

Justeru, seramai 777 atlet negeri itu akan menggalas tanggungjawab tersebut dengan sasaran 35 pungutan pingat emas dan berada di kedudukan lima terbaik antara negeri-negeri bertanding.

"...dalam usaha itu, kita meletakkan harapan tinggi terutamanya dalam sukan judo, Silat, kabaddi, silambam, muay thai, kriket dan hoki.

"Tetapi ini bukan bermakna acara-acara lain tidak penting," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Majlis itu turut dihadiri Exco Belia dan Sukan Perak, Khairuddin Abu Hanifah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Mazlan Mohamad.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim akan mengetuai kontinjen Perak.

Pada masa sama beliau juga berharap atlet Perak dapat menunjukkan prestasi memberangsangkan di samping mencipta kejutan pada temasya berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI