fb fb fb fb fb

SUKMA: Kontinjen Perlis diingatkan hindari gejala dadah, rasuah

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KANGAR, 4 Ogos - Kontinjen Perlis diingatkan menghindari gejala tidak sihat berkaitan penyalahgunaan dadah serta rasuah selain menjaga keselamatan diri dan kesihatan sewaktu berlangsung temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah atlet Perlis yang mewakili negeri untuk SUKMA 2024 perlu memberikan fokus sepenuhnya dan berjuang dalam dengan semangat kesukanan yang tinggi.

“Para atlet yang terpilih untuk mewakili Perlis ini peliharalah dan harumkan nama negeri kita serta berjuang bersungguh-sungguh bagi memastikan pengorbanan anda selama ini terbalas. Insya-Allah kejayaan akan memihak kepada anda,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Perlis ke temasya SUKMA Sarawak 2024 di Stadium Tuanku Syed Putra di sini malam tadi.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah seseorang atlet itu memerlukan disiplin, dedikasi dan komitmen yang tinggi selain melibatkan aspek fizikal serta turut menuntut kekuatan mental atlet untuk mereka berjaya dalam bidang sukan.

“Ia secara langsung memupuk dalam diri seseorang atlet tentang erti ketekunan, kesabaran dan kawalan diri. Justeru, sukan sinonim dengan nilai kehidupan kita untuk mencapai sesuatu kejayaan, ia perlul menerusi usaha yang bersungguh-sungguh dan konsisten,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada atlet yang terpilih dan layak mewakili negeri Perlis ke SUKMA 2024 setelah melalui pelbagai rintangan, perit jerih, saringan, ujian dan kejohanan kelayakan.

“Ribuan terima kasih tidak terhingga buat ibu bapa, penjaga dan keluarga atlet kita ini kerana merestui mereka untuk berjuang dalam bidang sukan. Beta percaya restu dan sokongan ibu bapa dan keluarga menjadi asbab penting dalam kejayaan atlet,” titah baginda.

Kontinjen Perlis dibarisi oleh 284 atlet dan 114 pegawai dan akan menyertai 28 acara sukan antaranya menembak, pelayaran, angkat berat, badminton, hoki dan memanah.

SUKMA 2024 akan bermula pada 17 hingga 24 Ogos yang melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Miri dan Betong. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF