fb fb fb fb fb

SUKMA 2024: Terengganu, Pahang raih emas angkat berat lelaki

Muhammad Izzan Ismadi dari Terengganu dan Muhammad Farris Haikal Kamarul dari Pahang

BETONG, 23 Ogos- Saingan hari terakhir sukan angkat berat bagi Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 menyaksikan atlet Terengganu berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 96 kilogram (kg) lelaki.

Kejayaan dilakar menerusi Muhammad Izzan Ismadi yang meraih pingat emas dalam acara tersebut.

Muhammad Izzan berjaya melakukan angkatan keseluruhan 313kg di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini hari ini.

"Saya dedikasikan emas ini kepada diri saya, ibu bapa dan semua rakyat Terengganu," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu beliau memecah rekod kebangsaan dengan angkatan 173kg dalam disiplin 'clean and jerk', memadam rekod kebangsaan atlet Wilayah Persekutuan, Abdila Iyad Abdul Jalil, 171kg pada pentas sama sebelum ini.

Pingat perak menjadi milik Abdila Iyad, manakala gangsa dimenangi atlet Sabah, Muhammad Alianafiah.

Sementara itu, dalam saingan lebih 96kg lelaki menyaksikan Muhammad Farris Haikal Kamarul dari Pahang memenangi pingat emas.

Beliau mengungguli saingan tersebut selepas melakukan angkatan 300kg.

Samuel Franklyn Edward dari Sarawak pula memenangi pingat perak, manakala atlet Perak mendapat pingat gangsa menerusi Mohamad Farid Izwan Nor Azizol Hamdan.

SITI AISHAH MD ISA