KUCHING, 23 Ogos- Saingan olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang melabuhkan tirai hari ini menyaksikan Selangor berjaya mendominasi acara 4x100 meter (m) lelaki dan wanita di Stadium Sarawak di sini.
Kuartet lelaki yang dibarisi Adam Hakim Samsuddin, Muhammad Haziq Muhammad Akhir, Danish Irfan Tamrin, Ahmad Sufi Muhammad Faeizal melintas garisan penamat dengan catatan 40.86 saat bagi meraih pingat emas.
"Saya gembira dapat menang 4x100m... saya dapat mengakhirinya dengan pingat emas. Namun sedikit kesal kerana 100m dan 200m saya tidak menonjol. Dan, ini adalah SUKMA terakhir saya," jelas Adam Hakim Samsuddin kepada pemberita di sini.
Sementara itu kuartet wanita dibarisi ratu pecut Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Dhanea Marsyella Ehsan Faez, Aina Batrisyia Abdullah dan Yee Tee Leng mengungguli acara berkenaan dengan catatan 47.97 saat.
"Kami tidak sangka boleh menang sebab ada pesaing-pesaing kuat seperti Johor dan Terengganu. Bagaimanapun kita tetap beri yang terbaik untuk Selangor dan menghadiahkan emas," jelas Nur Afrina Batrisyia.
Kontijen Selangor berjaya meraih tujuh pingat emas, lima perak dan empat gangsa sepanjang saingan olahraga Sukma 2024 kali ini.