JASIN, 31 Julai - Skuad ragbi lelaki Melaka menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik pada Sukan Malaysia (SUKMA ) 2024 di Sarawak yang akan berlangsung Ogos ini.
Presiden Persatuan Ragbi Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi dan pasukan yang dibentuk ketika ini.
Beliau berkata, sejak 2022 persatuan itu mengenal pasti hampir 60 pemain berpontensi sebelum disenarai pendek kepada 12 pemain terbaik bagi mewakili Melaka pada temasya itu.
"Kita sudah senarai pendek akhir 12 pemain yang kita anggap pemain terbaik untuk dibawa ke kejohanan SUKMA pada Ogos ini.
"Jadi pemain dalam keadaan bersedia dan kita menjanjikan empat pasukan terbaik untuk SUKMA , jika empat pasukan terbaik kita akan membawa sebutir pingatlah," kata Hameed.
Beliau berkata kebanyakan pemain itu juga pernah beraksi pada edisi SUKMA sebelum ini.
Acara ragbi dijadual berlangsung di Stadium Miri dari 19 hingga 22 Ogos depan.