TAIPING, 15 Julai - Perbelanjaan perjalanan bagi atlet di Semenanjung yang ditanggung kerajaan negeri masing-masing untuk ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak adalah sesuatu yang wajar.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata ini kerana temasya sukan itu merupakan satu keperluan dalam memastikan negara tidak ketandusan bakat muda.
Pihaknya telah memaklumkan kepada Menteri Besar serta Ketua Menteri bagi memastikan peruntukkan yang mencukupi untuk atlet negeri masing-masing.
"Sebenarnya Sarawak telah keluarkan banyak (dana) sebagai penganjur. Saya kira agak adil kerana selalu atlet Sabah, Sarawak kena datang ke Semanjung dan mereka juga bayar kos yang tinggi, jadi kita kena ambil giliran seperti itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam Bekas Atlet-Atlet Taiping, di sini pada Ahad.
SUKMA 2024 akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos depan.
Sebanyak 37 sukan akan dipertandingkan, melibatkan 488 acara, dengan penyertaan 12,619 atlet dan pegawai.
Temasya kali ini merupakan penganjuran kali ketiga oleh Sarawak selepas edisi 1990 dan 2016.