BERLIN, 15 Julai - Sepanyol dinobatkan selaku juara Euro 2024 selepas menundukkan England 2-1 pada perlawanan akhir di Berlin, awal pagi tadi.
Pada pertemuan di Olympiastadion itu, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang namun buntu mencari gol pada separuh masa pertama.
Kembali selepas rehat, Sepanyol terus agresif mencari jaringan dan hasilnya Nico Williams berjaya meletakkan pasukannya di hadapan hasil rembatan pada minit ke-47.
Namun, England tidak berputus asa dan terus menggandakan asakan.
Minit ke-73, skuad kendalian Gareth Southgate berjaya meraih gol penyamaan menerusi Cole Palmer.
Empat minit sebelum masa sebenar tamat, pemain gantian Mikel Oyarzabal menceriakan penyokong apabila meledak gol kedua dan kemenangan buat skuad La Roha.
Ia merupakan gelaran utama pertama Sepanyol dalam tempoh 12 tahun dan kejuaraan Euro keempat selepas memenanginya pada 1964, 2008 dan 2012.
Penyerang remaja Sepanyol, Lamine Yamal turut dipilih Pemain Muda Terbaik manakala tonggak tengah, Rodri, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.