BINTULU, 12 Ogos- Pasukan muay thai Sarawak bersedia untuk meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Bintulu bermula 15 Ogos ini.
Menurut Ketua Jurulatih Muay Thai Sarawak, Muhammad Azan Mohd Nadzri, para atlet kini berada dalam keadaan fizikal dan mental yang terbaik selepas menjalani kem latihan intensif di Thailand dan Kelantan.
"Kami pada awalnya mensasarkan dua pingat emas, namun saya yakin Sarawak mampu meraih lebih daripada itu. Prestasi semasa para atlet sangat memberangsangkan dengan beberapa kejohanan yang telah kami sertai dalam tempoh dua bulan ini di Thailand.
"Atlet kami menunjukkan prestasi cemerlang, termasuk memenangi tali pinggang di Texas dan stadium besar di Thailand," kata Muhammad Azan semasa ditemui pada Majlis Makan Malam bersama ADUN Tanjong Batu di Bintulu, malam tadi.
Beliau turut menjelaskan penambahan kategori baharu seperti Waikaru dan Muay Boran pada SUKMA kali ini dijangka membuka peluang yang lebih besar untuk Sarawak menambah koleksi pingat emas.
SUKMA 2024 akan menjadi medan penting bagi Sarawak untuk mempamerkan kehebatan dalam sukan muay thai, dengan harapan untuk terus menambah kejayaan dalam temasya sukan terbesar di negara ini.