KUCHING, 12 Ogos- Orang ramai khususnya warga Kuching hari ini, membanjiri perkarangan Stadium Sarawak untuk mendapatkan tiket masuk bagi Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang diagihkan secara percuma.
Nang Sporting!. Tinjauan kru RTM mendapati, orang ramai sudah mula beratur untuk mendapatkan tiket seawal pukul 6.00 pagi lagi dan sanggup menunggu beberapa jam sehingga kaunter agihan tiket dibuka pada pukul 10.00 pagi.
Menjelang penganjuran temasya sukan tersebut, rata-rata rakyat Sarawak bersemangat serta teruja untuk menyaksikan Majlis Perasmian SUKMA Sarawak 2024 yang bakal berlangsung pada 17 Ogos nanti.
Sebanyak 7,500 tiket akan diagihkan secara percuma oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak kepada orang ramai pada hari ini manakala, jumlah yang sama juga akan diagihkan pada esok (Selasa).
Setiap seorang hanya dibenarkan mengambil empat tiket sahaja dan setiap tiket perlu disertakan nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon.