KUCHING, 12 Ogos- Pasukan wushu negeri Johor sedia bolot empat pingat emas dalam acara Wushu pada Sukan Malaysia, SUKMA Edisi ke 21 di Sarawak tahun ini.
Pengurus Pasukan Wushu (Taolu) Johor, Ivan Lee, memberitahu pasukannya yang terdiri dari 24 atlet kali ini sudah bersedia sehabis baik untuk memungut seberapa banyak emas dalam acara berkenaan dengan berbekalkan latihan selama lebih dua tahun.
Ujarnya lagi, menerusi atlet yang berpengalaman di peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA seperti Lee Jia Rong dan Samuel Yeo Boon Leong, ia merupakan batu loncatan kepada pasukan Johor untuk merangkul lebih banyak emas dalam kategtori masing-masing.
Beliau ditemui RTM semasa ketiba pasukan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, LTAK pagi tadi.
Pada SUKMA edisi lepas, Johor berjaya menjadi juara keseluruhan dengan kutipan 77 pingat emas di mana enam pungutan emas disumbang oleh pasukan Wushu.
Sementara itu, kem wushu Perak juga tidak mahu ketinggalan untuk muncul selaku pencabar utama pada temasya kali ini.
Pengurusnya, Alex Hii memberitahu, pasukannya akan meraih seberapa banyak pingat yang boleh dalam 20 disiplin yang akan disertai pasukan tersebut.
Acara wushu akan membuka tirai pada 14 sehingga 16 Ogos di Dewan Wushu Majlis Sukan Sarawak, Petra Jaya Kuching dengan menawarkan 28 pingat emas.
Turut tiba di LTAK pagi tadi ialah, pasukan berbasikal dan terjun negeri Johor serta pasukan wushu dan silambam dari negeri Perak.