MIRI, 12 Ogos- Kontinjen Brunei Darussalam merupakan satu-satunya negara yang menyertai ke Sukan Malaysia, SUKMA XXI Sarawak 2024.
Rombongan pertama seramai 11 atlet beserta tiga orang pegawai Kontinjen Brunei Darussalam yang akan bertanding untuk acara sepak takraw tiba lebih kurang pukul 10.40 pagi tadi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarangin ICQS Sungai Tujuh, Miri.
Jurulatih Skuad Sepak Takraw Brunei, Abd Talib Ahmad ketika ditemui media pagi tadi berkata mereka tidak hadir ke Bumi Kenyalang untuk menjadi pasukan pelengkap tetapi memberi saingan yang terbaik kepada pihak lawan meski rata-rata mereka adalah pemain baharu.
"Bagi saya yang pentingnya pemain dapat menunjukkan satu mutu permainan yang menarik di Bintulu nanti di Sarawak sebab rata-rata pemain Brunei ini adalah pemain baru tapi kami akan memberi satu cabaran yang terbaik, maksudnya kalau dapat pingat memang satu bonus kepada kami,"katanya.
Abd Talib menambah pemain sepak takraw Brunei telah membuat persediaan sejak tahun lepas, dan menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan dulu.
Acara sepak takraw akan dijadualkan bermula pada 14 Ogos ini di Stadium Muhibbah, Bintulu.