fb fb fb fb fb

SUKMA 2022: Kem menembak Terengganu sasar dua pingat emas

(Foto fail)

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos- Berbaki kurang daripada 16 hari lagi sebelum gelanggang Sukan Malaysia (SUKMA 2022) membuka tirai, kem menembak Terengganu tekad untuk merangkul sekurang-kurangnya dua pingat emas.

Walaupunya sasaran itu merupakan defisit berbanding pencapaian SUKMA Perak 2018 dengan pencapaian 3 pingat emas berjaya dirangkul, namun ia tetap realistik dalam usaha membantu kontinjen Terengganu kembali dinobatkan selaku juara keseluruhan.

Menurut ketua jurulatih Nazihan Harun, sasaran 2 emas itu dilihat realistik walaupun pasukannya menyertai kesemua 14 acara yang dipertandingkan. Ia memandangkan persiapan pasukan telah terencat dari awal berikutan kekangan infrastruktur pusat latihan menembak di negeri ini yang tidak dapat digunakan bagi memenuhi rangka program latihan yang telah dirancang.

Menambah cabaran buat kem menembak ini, situasi pandemik COVID-19 yang melanda sejak dua tahun lalu telah menyebabkan program latihan pasukan terganggu dalam usaha untuk mencari kejituan bagi setiap sasaran tembakan setiap atlet Terengganu.

Dalam temasya penganjuran sukan terbesar edisi ke-20 ini, sinar kilauan emas disandarkan pada tuah gandingan Muhammad Nur Rifqi Mohd Ansarullah Eu Abdullah, Nik Muhammad Luqman Nik Omar dan Muhammad Naufal Mohamed Nasir bagi acara 25 meter Sports Pistol Berpasukan Lelaki.

Manakala harapan dalam acara 10 meter Air Rifle Mixed's ditaruhkan pada Ahmad 'Azim Aizuddin Mohd Rafii dan Nur Aqasha Damia Abdullah untuk melengkapkan sasaran dua pingat emas buat kontinjen negeri Terengganu.

Pada temasya SUKMA Perak 2018 yang lalu, kem menembak Terengganu telah menyumbang 3 pingat emas, 5 perak dan 3 gangsa sekali gus membantu kontinjen negeri ini dinobatkan selaku juara keseluruhan.

(Foto hiasan/Google)

"Kita sebelum ini mengalami kekangan dari segi latihan sebab kita berlatih di lapangan sasar Gong Badak baharu tahun 2021. Sebelum ini lapangan sasar ini tidak boleh digunakan. Jadi tempoh masa yang diberikan itu agak terhad bagi kami untuk menyasarkan lebih daripada 2 pingat emas," kata Nazihan.

"Kita senior, saya senior dan ini penglibatan terakhir saya jadi memanglah kita harapkan hendak emas. Saya cuba buat yang terbaik semampu saya," kata penembak Terengganu, Ahmad 'Azim Aizuddin Mohd Rafii.

Pasukan menembak Terengganu ditemui pemberita sewaktu majlis beramah mesra bersama rakan penaja di sini.

Media Baharu