CHANGZHOU, 25 Julai - Hasrat Malaysia untuk melakar sejarah di pentas Terbuka China 2025 tidak kesampaian selepas beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie - Toh Ee Wei, terkandas di peringkat suku akhir.
Aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou itu menyaksikan pasangan keempat dunia itu terpaksa akur kepada gandingan tuan rumah, Guo Xin Wa - Chen Fang Hui, sekali gus gagal mara ke separuh akhir.
Pertarungan selama 43 minit itu menyaksikan Tang Jie - Ee Wei memulakan perlawanan dengan cemerlang, namun gagal mengekalkan momentum apabila pasangan kesembilan dunia meraih kemenangan straight set 21-19, 21-15.
Kekalahan tersebut menamatkan kempen Tang Jie - Ee Wei, yang sebelum ini mempamerkan prestasi meyakinkan sejak pusingan awal kejohanan.
Ia juga menyaksikan impian mereka untuk menjadi beregu campuran pertama negara menjuarai Terbuka China terus tertangguh.
Setakat ini, Tang Jie - Ee Wei masih belum berjaya merangkul sebarang gelaran pada tahun ini, dengan pencapaian terbaik mereka adalah mara ke separuh akhir di empat kejohanan Terbuka Malaysia, India, Indonesia dan Jepun.