fb fb fb fb fb

SUKIPT 2022: UiTM optimis raih 22 pingat emas

SHAH ALAM, 11 Ogos- Kontinjen Universiti Teknologi Mara (UiTM) meletakkan sasaran 22 pingat emas pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022.

Temasya itu akan berlangsung esok hingga 21 Ogos ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara, Prof Dr. Mohd Sazili Shahibi, sasaran itu realistik kerana UiTM tidak menghantar keseluruhan atletnya disebabkan sebahagian mereka terpaksa menduduki peperiksaan.

“Faktor penangguhan SUKIPT selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 diakui sedikit merencatkan persiapan atlet selain ada yang menghadapi peperiksaan akhir. Namun, kita kekal yakin kontinjen UiTM mampu meraih sasaran emas ditetapkan dan menduduki tiga kelompok terbaik edisi kali ini,” katanya pada majlis penyerahan bendera kontinjen itu di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam.


(Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof Dr. Mohd Sazili Shahibi)

Ujar Mohd. Sazili, pingat emas yang disasarkan itu antaranya meliputi sukan kayak, catur, boling padang, silat dan memanah.

“Sasaran itu mungkin sedikit menurun berbanding sebelum ini kerana banyak acara digugurkan. Kita menerusi 197 atlet lelaki dan 175 wanita bagaimanapun akan melakukan sebaik mungkin seperti kecemerlangan menjadi johan keseluruhan pada 2014 dan 2016 lalu,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan dua penuntut UiTM, Mohamad Aniq Kasdan dan Ain Nabilah Tarmizi yang memenangi pingat dalam acara angkat berat dan boling padang pada Sukan Komanwel 2022 diharap turut menyuntik semangat kontinjen untuk meraih sebanyak mungkin pingat.

Lebih 6,000 atlet daripada 70 kontinjen mengesahkan penyertaan pada SUKIPT kali ini melibatkan IPT awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti bagi merebut 210 pingat emas daripada 21 acara­ yang dipertandingkan.

Pada edisi terakhir yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada 2018 menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan juara keseluruhan.

Media Baharu