fb fb fb fb fb

Sukan SEA: Syafiq Puteh buru hatrik emas

Penerjun negara, Syafiq Puteh /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Penerjun negara, Muhammad Syafiq Puteh bertekad memburu kejuaraan hatrik dalam acara 3 meter papan anjal lelaki pada Sukan SEA 2025 di Thailand, sekali gus mengekalkan penguasaan Malaysia dalam acara terjun serantau.

Syafiq, 30, sebelum ini meraih emas pada edisi Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023, dan bakal membuat penampilan keenamnya sejak debut di Sukan SEA Singapura 2015.

Baru-baru ini, beliau meraih dua pingat perak di Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India, masing-masing dalam acara 1 meter papan anjal individu dan 3 meter papan anjal seirama bersama gandingan muda, Elvis Priestly Clement.

“Saya mahu pertahankan emas yang dimenangi di Kemboja dua tahun lalu. Saya yakin dengan usaha rakan sepasukan dan latihan intensif kami, kami boleh tampil lebih baik di Thailand nanti,” kata Syafiq.

Mengulas masa depannya, Syafiq memberi bayangan Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur mungkin menjadi penampilan terakhirnya, namun menegaskan dia akan terus berjuang selagi mampu.

Ketika ini Syafiq giat menjalani latihan rapi bersama jurulatih Ooi Tze Liang, dengan tumpuan kepada aspek fizikal dan teknik yang konsisten menjelang temasya dwitahunan yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Pengalaman dan semangat juang Syafiq dijangka menjadi aset penting kepada kem terjun negara untuk terus mendominasi pentas Asia Tenggara.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN