fb fb fb fb fb

Sukan SEA: Skuad regu lelaki raih laluan mudah

Majlis undian disempurnakan Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader /Foto ASTAF

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Skuad sepak takraw negara dijangka tidak berdepan halangan besar untuk mara ke peringkat kalah mati dalam acara regu lelaki pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.

Ini selepas keputusan undian yang dilihat memihak kepada pasukan negara.

Pada majlis undian rasmi yang berlangsung di Bangkok hari ini, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama Laos dan Vietnam, sementara tuan rumah Thailand pula dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Singapura.

Bagi acara regu berpasukan lelaki, skuad negara diberikan laluan yang selesa apabila diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Filipina, dan Singapura.

Undian ini membuka peluang cerah buat Malaysia untuk mengungguli peringkat kumpulan dan mara ke pusingan seterusnya.

Namun, cabaran getir menanti skuad regu wanita apabila mereka dijadual berentap dengan pasukan handalan iaitu Thailand, Vietnam, dan Indonesia dalam format round-robin.

Untuk acara berpasukan wanita, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Myanmar, dan Kemboja.

Sementara itu, dalam acara kuadran lelaki, Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang turut menampilkan Laos, Kemboja, Singapura, Brunei, dan Vietnam.

Skuad kuadran wanita pula bakal berdepan tugas mencabar apabila diundi bersama pasukan pilihan seperti Thailand, Myanmar, dan Indonesia.

Terdahulu, majlis undian disempurnakan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader.

Turut hadir, Pemangku Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) Bonchai Lorhpipat dan Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Abidullah Salleh.

Mengimbas Sukan SEA edisi lalu, skuad sepak takraw negara membawa pulang empat pingat perak dan empat pingat gangsa.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN