SEPANG, 19 Oktober - Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli diyakini mampu mengawal tekanan apabila membuat penampilan sulung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelang Grand Prix (GP) Malaysia 2025.
Pengurus pasukan AEON Credit SIC Racing MSI, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan penyertaan Hakim Danish menerusi tiket wildcard merupakan peluang berharga untuk menimba pengalaman.
Ini selepas kejayaannya menamatkan musim Red Bull Rookies Cup dalam kelompok tiga terbaik.
"Penampilan wildcard ini adalah satu hadiah buat Hakim Danish. Sudah pasti dengan pakej terbaik, kami mahu pastikan dia dapat berlumba dengan tenang, tanpa tekanan berlebihan," katanya.
Tiada sebarang sasaran tinggi diletakkan pada penampilan pertama di pentas Grand Prix, sebaliknya tumpuan terarah kepada usaha membina keyakinan pelumba tersebut untuk jangka panjang.
"Secara realistiknya amat sukar bagi pelumba untuk meraih kemenangan pada penampilan pertama di pentas GP, namun pengalaman beraksi di SIC akan menjadi titik penting dalam perjalanan karier Hakim Danish," tambahnya.
GP Malaysia 2025 bakal menjadi medan penting buat Hakim Danish membuktikan potensi, dengan seluruh tumpuan peminat tempatan pastinya tertumpu kepada aksi sulungnya di SIC sebagai antara pelumba muda paling menyerlah ketika ini.
