fb fb fb fb fb

Sukan SEA: Pencapaian membanggakan atlet, lepasi sasaran 36 pingat emas

KUALA LUMPUR, 23 Mei - Sukan SEA Hanoi yang melabuhkan tirainya hari ini menyaksikan tuan rumah, Vietnam berada dalam kelas tersendiri dengan kejayaan menggondol 205 pingat emas untuk bergelar juara keseluruhan.

Catatan itu jauh meninggalkan Thailand dikedudukan kedua dengan 92 pingat emas, manakala Indonesia ketiga dengan catatan 69 pingat emas.

Kontinjen negara pula terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-enam selepas mengumpul 39 pingat emas.

Ini menjadi kejayaan kedua Vietnam bergelar juara keseluruhan selepas kali terakhir melakukannya semasa menjadi tuan rumah edisi 2003.

Bagi kem negara, meskipun melepasi sasaran dengan meraih 39 pingat emas, namun catatan itu lebih rendah berbanding dicatatkan semasa edisi 2019 di Filipina iaitu 55 emas.


(Pencapaian keseluruhan Sukan SEA yang membanggakan negara)

Kontinjen negara juga ketika itu menamatkan perjuangan di tangga kelima keseluruhan berbanding keenam pada edisi kali ini.

Namun ada perkara positif ditampilkan atlet negara dengan berjaya memecah beberapa rekod Kebangsaan.

Antaranya, kuartet 4X100 meter lelaki yang memecah rekod lama 39.27 saat dengan mencatat 39.09 saat.

Atlet angkat berat menerusi Muhammad Aniq Kasdan dan Muhammad Erry Hidayat juga berjaya mencatat rekod kebangsaan baharu.

Atlet memanah Juwaidi Marzuki dan atlet Gimnastik Rachel Yeoh Li Wen bergelar atlet terbaik negara di Vietnam.

Juwaidi cemerlang meraih 2 pingat emas dan 1 pingat perak, manakala Rachel meraih 2 pingat emas dan 1 pingat gangsa.

Peranan sebagai tuan rumah pada 2023 akan diambil alih Kemboja yang dijangka akan menyertakan 40 jenis sukan.

Media Baharu