(Aksi cemerlang juga dipamerkan oleh atlet lompat kijang lelaki negara, Andre Anura Anuar
yang meraih pingat emas Ke-22 kontinjen Malaysia)
HANOI, 17 Mei- Olahraga, berbasikal bukit dan snuker hari ini, menyumbangkan empat pingat emas buat kontinjen Malaysia pada hari ke-10 temasya Sukan SEA Ke-31 di sini.
Namun, pencapaian itu gagal membantu kem negara untuk memperbaiki kedudukan dalam carta kutipan pingat, apabila Malaysia kekal berada di tempat keenam dengan 23 emas, 26 perak dan 55 gangsa.
Ketika beberapa acara ketandusan pingat emas, skuad olahraga negara cemerlang apabila menghadiahkan dua emas menerusi jaguh lempar cakera lelaki, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet lompat kijang Andre Anura Anuar, manakala gangsa daripada Norliyana Kamaruddin dalam acara heptatlon.
Selepas meraih satu perak dan satu gangsa kelmarin, skuad berbasikal bukit terus memperagakan kayuhan cemerlang, apabila melakar sejarah merangkul pingat emas pertama acara berganti-ganti rentas desa campuran, pada Selasa.
Kejayaan dicapai gandingan Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon itu, adalah emas pertama Malaysia dalam sukan berkenaan sepanjang penyertaan pada Sukan SEA, dengan pencapaian terbaik sebelum itu ialah pingat perak pada edisi 2011.
(Skuad berbasikal bukit terus memperagakan kayuhan cemerlang, apabila melakar sejarah
merangkul pingat emas pertama acara berganti-ganti rentas desa campuran pada Selasa)
Atlet snuker Lim Kok Leong juga memastikan pingat emas Sukan SEA kekal dalam genggaman Malaysia apabila menjuarai acara perseorangan 6-Red lelaki.
Pemain berusia 27 tahun itu, mengalahkan Jefrey Roda dari Filipina 5-3 pada perlawanan akhir bagi memenangi pingat emas individu pertamanya di Sukan SEA, selepas acara itu ditandingkan semula pada temasya dwitahunan, selepas sembilan tahun.
Di Pusat Akuatik My Dinh, skuad renang menutup saingan dengan pencapaian masing-masing satu perak dan gangsa, selain memecah satu rekod kebangsaan pada aksi final.
Gandingan Welson Sim, Lim Yin Chuen, Arvin Shaun Singh Chahal dan Khiew Hoe Yean, membutirkan pingat perak menerusi acara 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan masa tujuh minit dan 19.75 saat (s) sekali gus mencipta rekod baharu kebangsaan.
Pingat gangsa negara di kolam renang pula disumbangkan Job Tan dalam acara 200m kuak dada lelaki.
Sementara itu, skuad sepak takraw lelaki gagal melakukan kejutan ke atas jaguh dunia, Thailand apabila meraih perak acara antara regu manakala pasukan wanita negara terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Pasangan adik beradik, Syed Afiq Fakhri Syed Ali dan Sharifah Afiqah Farzana, juga terpaksa berpuas hati merangkul gangsa pada penampilan sulung mereka dalam acara doubles campuran (mixed doubles), hari ini.
Pencapaian meraih empat emas, dua perak dan empat gangsa hari ini menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan keenam, dengan tuan rumah Vietnam masih mendahului dengan 101 emas, 65 perak dan 64 gangsa.
Thailand berada di tempat kedua setelah mengutip 43 emas, 45 perak dan 63 gangsa, diikuti Filipina 34-39-51, Singapura 30-32-36 dan Indonesia di kedudukan kelima dengan kutipan pingat 27-40-38.
Beberapa acara bakal menjadi tumpuan kem Malaysia pada hari ke-11 esok, menyaksikan pemain golf lelaki dan wanita, masing-masing akan bersaing dalam acara berpasukan menentang Thailand.
Pasukan badminton lelaki turut akan berdepan Thailand dalam final acara berpasukan, manakala acara memanah menyaksikan Khairul Anuar Mohamad-Syaqiera Mashayikh membuat perhitungan berdepan wakil Indonesia, Reza Octavia-Riau Ega Agatha Salsabila dalam acara berpasukan campuran recurve.
Acara trek dan balapan akan bersambung esok, dengan Nauraj Singh Randhawa dijangka mempertahankan emas acara lompat tinggi lelaki manakala Muhammad Azeem Fahmi dan Muhammad Arsyad Md Saat, akan membawa cabaran bagi acara 100m lelaki.-BERNAMA