fb fb fb fb fb

Sukan SEA Hanoi : Skuad wushu puas hati

HANOI, 15 Mei- Dua emas, satu perak, dua gangsa, kem wushu negara boleh tersenyum lebar dengan prestasi dipersembahkan lapan atlet yang beraksi di Sukan SEA Hanoi.

Kejayaan diraih itu sudah pasti memberi seribu makna kepada jurulatih kebangsaan, Lim Yew Fai, lebih-lebih lagi turun dengan enam atlet yang julung kali beraksi di pentas dwitahunan itu.

Pada aksi hari terakhir wushu yang berlangsung pagi ini, Yeap Wai Kin berjaya menyumbang pingat gangsa negara dalam acara gunshu selepas mengutip 9.68 mata manakala rakan senegara Clement Ting Su Wei menamatkan saingan di kedudukan keenam.

Dua atlet negara itu tewas dengan aksi seni lebih bertenaga dipamerkan atlet Indonesia, Siregar Seraf Naro dan Lim Jowen Si Wei dari Singapura, masing-masing meraih emas dan perak.

Sementara bagi atlet lain yang beraksi lebih awal dalam acara masing-masing, mereka tidak berjaya memikat juri untuk memperolehi sebarang gangsa.

Namun kesimpulannya, dua emas sebagai bonus yang tidak dijangka-jangka oleh kem wushu boleh disifatkan melebihi sasaran diharapkan berbanding dua pingat tanpa warna.

Ini merupakan pencapaian terbaik skuad dibawah bimbingan Lim Yew Fai bagi temasya edisi ke-31.

“Pingat bukanlah terlalu penting bagi saya, lebih utama adalah peningkatan dalam persembahan.

“Ya, saya sangat gembira dengan apa yang dipersembahkan, mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan besar yang membolehkan markah dipotong, walaupun ada sedikit kesilapan kecil mereka perlu pelajari daripada pengalaman ini,” kata Lim Yea Fai, ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Fokus seterusnya, mereka akan menumpukan sepenuh persiapan menjelang kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) yang dijangka membuka tirainya Julai ini hingga Ogos.

 

Media Baharu