SEPANG, 15 Mei- Atlet Kurash Negara, Yousuff Daniel Fauzi Cruz tekad memperbaiki pencapaian dengan meraih emas sekiranya sukan itu dipertandingkan dalam Sukan SEA Kemboja pada tahun hadapan.
Beliau yang meraih gangsa pada edisi Vietnam tahun ini yakin mampu mencatat keputusan lebih baik seandainya mempunyai tempoh masa mencukupi untuk membuat persiapan.
Atlet berusia 28 tahun itu secara peribadi berpendapat, jurang prestasi atlet Malaysia dengan kuasa besar sukan itu termasuk Vietnam berjaya dikurangkan pada temasya kali ini.
(Atlet kurash, Yousuff Daniel Fauzi Cruz)
"Tuan rumah membolot kesemua pingat kali ini, ini mungkin kerana persediaan mereka yang lebih maksimum,
"Dan kalau dilihat daripada teknik dan taktikal Malaysia dan Vietnam tidak jauh berbeza, kali ini mungkin barisan yang kurang berpengalaman," jelasnya secara ekslusif kepada Berita RTM selepas tiba di KLIA 2 dari Vietnam.
Skuad Kurash negara berjaya memperbaiki pencapaian SATU pingat perak pada edisi 2019, dengan meraih TIGA pingat gangsa pada temasya kali ini.