HANOI, 17 Mei - Jurulatih tenpin boling lelaki, Gerald Samuel enggan menambah tekanan ke atas anak buahnya dalam misi memenangi pingat emas pertama.
Ia susulan kegagalan dua anak buahnya mempertahankan kilauan tersebut dalam acara perseorangan lelaki semalam.
Malaysia memulakan hari pertama dengan mempertaruhkan Sharukh Amin Zulkifli dan Mohd Syazirol Shamsudin bagi acara perseorangan lelaki.
Namun, kedua-duanya yang membuat penampilan sulung di temasya sukan Asia Tenggara itu gagal menampilkan prestasi terbaik.
Sharukh Amin hanya mampu menamatkan saingan di tangga ketujuh dengan 1,199 jatuhan pin manakala Mohd Syazirol pula di tangga kelapan dengan 1,187 jatuhan pin.
Dalam acara itu, Matheiu Merwin Tan dari Filipina memenangi pingat emas, diikuti pemain Thailand Yannaphon Larpapharat untuk perak dan Ryan Leonard Lalisang dari Indonesia gangsa.
Pada edisi 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur, Rafiq Ismail memenangi emas perseorangan lelaki, manakala Timmy Tan Chye Chern memenanginya pada edisi 2019 di Manila.
Sementara itu acara perseorangan wanita pula menyaksikan Nerosha Keligit dan Gillian Lim Siew Geok turut gagal mencipta kejutan.
Nerosha melakukan 1,249 jatuhan pin untuk tempat kelima manakala Gillian pula di tempat keenam dengan 1,136 jatuhan pin.
(Gerald ketika ditemui pemberita RTM)
"Ini baru pertama untuk SEA Game, dia memang bukan senang atau bukan susah. Tetapi dia tricky sedikit. Jadi mungkin lebih sikit pengalaman untuk mereka, saya rasa lebih baik. Semua ok. Mungkin esok akan lebih baik," kata Gerald di sini.
Pemain Singapura, Cherie Tan Shi Hua memenangi emas acara itu diikuti pemain Filipina, Marie Alexis untuk perak dan gangsa menjadi milik seorang lagi pemain Singapura, New Hui Fen.
Hari ini akan berlangsung acara beregu lelaki dan wanita.