HANOI, 11 Mei- Skuad terjun Malaysia membuktikan kehandalan mereka selepas menyapu bersih semua lapan pingat emas yang ditawarkan dalam penganjuran temasya dwitahunan ke-31 itu.
Ia sekali gus menepati sasaran ditetapkan oleh kem terjun negara di Hanoi.
Dalam acara terakhir hari ini, atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri melengkapkan kemenangan Malaysia apabila mengungguli 10 meter platform seirama wanita di Aquatic Sports Palace.
Gandingan itu mengumpul 292.14 mata selepas melengkapkan lima terjunan.
Pandelela dan Nur Dhabitah cemerlang pada terjunan ketiga selepas mencatat mata tertinggi 65.70, seterusnya memberikan 64.32 mata pada terjunan keempat dan kelima untuk merangkul emas kesembilan buat negara.
(Datuk Pandelela dan Nur Dhabitah bersedia sebelum beraksi pada acara akhir 10 Meter platform seirama wanita)
Pasangan kembar dari Singapura Ong Sze En dan Ong Rei En pula membawa pulang perak dengan 225.42 mata.
Manakala wakil tuan rumah, Bui Thị Hong Giang dan Mai Hong Hanh mencatatkan 185.25 mata di tempat ketiga, bagaimanapun tiada pingat gangsa diberikan memandangkan hanya tiga pasangan tersebut mengambil bahagian.
Nur Dhabitah, yang juga pembawa Jalur Gemilang, merupakan pemenang emas sulung negara di temasya tersebut menerusi acara 1 meter papan anjal Ahad lepas.