HANOI, 10 Mei- Momentum kecemerlangan skuad terjun negara diteruskan lagi hari ini apabila emas kelima negara disumbangkan atlet terjun, Ng Yan Yee dalam acara akhir 3 meter papan anjal individu wanita.
Yan Yee berjaya mengungguli acara tersebut setelah mengutip mata tertinggi 270.60.
Beraksi dalam lima pusingan, Yan Yee memulakan terjunan pertama dengan meraih 57.00 mata.
Peningkatan ditampilkan pada dua terjunan berikutnya dengan 65.10 dan 52.50 untuk meneruskan aksi konsisten sehingga terjunan terakhir.
Bagi Yan Yee, emas yang dirangkulnya hari ini menjadi pembakar semangat bukan sahaja kepada atlet terjun, malah semua atlet negara yang bakal bertanding pada sukan SEA kali ini.
Untuk rekod, ini merupakan pingat emas ketujuh peribadi Yan Yee sepanjang penampilan beliau dalam Sukan SEA sejak 2011.
(Yan Yee beraksi dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita di Pusat Akuatik My Dinh)
Sementara itu, dalam acara sama seorang lagi wakil negara, Ong Ker Ying turut mempamerkan aksi cemerlang dengan meraih pingat perak kedua negara selepas mengutip mata keseluruhan 242.40 dibelakang Yan Yee.
Pingat gangsa pula menjadi milik penerjun Singapura, Fong Kay Yian yang berjaya meraih 230.15 mata keseluruhan.