fb fb fb fb fb

Sukan SEA: Aaron-Wooi Yik hanya selangkah tuai emas

Pemain Beregu Lelaki Malaysia Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik beraksi pada perlawan separuh akhir badminton Sukan SEA 2025 di Gimnasium 4, Universiti Thammasat Kampus Rangsit/ Foto BERNAMA

BANGKOK, 13 Disember - Impian menyaksikan perlawanan akhir beregu lelaki sesama Malaysia tidak kesampaian apabila hanya juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun tersingkir pada peringkat separuh akhir Sukan SEA 2025 di Pathum Thani hari ini.

Pada aksi di Gimnasium 4, Kampus Rangsit Universiti Thammasat, Aaron-Wooi Yik menepati ramalan apabila mudah menewaskan pilihan keempat Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-10, 21-12 dalam masa 33 minit.

Wooi Yik berkata mereka kini fokus untuk memburu pingat emas kedua Sukan SEA apabila berdepan gandingan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, yang menyingkirkan Wei Chong-Kai Wun 21-16, 21-17 dalam satu lagi separuh akhir.

“Emas sentiasa menjadi matlamat kami. Kami tidak menganggapnya sebagai tekanan yang terlalu besar untuk kami, kami hanya mahu berjuang untuk mendapatkan pingat emas ini. Kami akan melakukan yang terbaik, kami berjanji,” katanya selepas perlawanan hari ini.

Pasangan itu memenangi pingat emas Sukan SEA pertama mereka pada edisi 2019 selepas menewaskan gandingan Thailand Bodin Isara-Maneepong Jongjit 18-21, 21-15, 21-16.

Sementara itu, Wei Chong yang kecewa mengakui mereka bermain terlalu berhati-hati pada separuh akhir manakala Kai Wun berkata perasaan gugup menguasai mereka sehingga melakukan kesilapan yang merugikan.

Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.- BERNAMA

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI