fb fb fb fb fb

JDT berdepan krisis kecederaan, Xisco tuntut pemain kekal fokus

Ketua jurulatih JDT Xisco Munoz (kiri) bersama ketua pasukan JDT Natxo Insa (kanan) ketika sidang media hari ini menjelang perlawanan akhir Piala FA 2025-2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Meskipun turun sebagai juara bertahan dan memburu kejuaraan hatrik, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan cabaran besar apabila tidak dapat menurunkan barisan terkuat susulan kecederaan yang menimpa hampir separuh pemain utama pasukan.

Situasi berkenaan memaksa ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz merangka pendekatan berbeza bagi memastikan misi mempertahankan kejuaraan terus berada di landasan tepat dalam aksi final yang dinanti-nantikan.

Xisco mengakui pasukannya kini berada dalam keadaan sukar akibat krisis kecederaan, namun menegaskan fokus sepenuhnya perlu diberikan kepada pemain yang tersedia untuk diturunkan.

“Perkara paling penting adalah kami memberi prestasi maksimum. Kami sedikit berada dalam krisis kecederaan, tetapi fokus utama adalah perlawanan final ini dan pemain yang ada,” katanya.

JDT kini tanpa trio yang digantung perlawanan iaitu Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal manakala senarai kecederaan mereka melibatkan Arif Aiman Mohd Hanapi, Bergson da Silva, Romel Morales dan Juan Muniz.

Menurut jurulatih dari Sepanyol itu, aksi final tidak boleh disamakan dengan perlawanan liga biasa dan menuntut komitmen luar biasa daripada setiap pemain.

“Ini bukan perlawanan liga, ini adalah final. Semua orang perlu faham kami perlu beri bukan sahaja 100 peratus, tetapi 200 peratus untuk memenangi kejuaraan. Tidak penting siapa bintang atau bukan, yang penting adalah cara kami bermain,” katanya lagi.

Walaupun berdepan kekangan pemain, JDT tetap dilihat sebagai pasukan pilihan berdasarkan rekod cemerlang mereka dalam saingan domestik, termasuk tidak tewas dalam perlawanan tempatan sejak empat tahun lalu.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI