fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2027: KBS kaji impak penganjuran

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 30 April - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan kajian impak secara menyeluruh sebelum membuat keputusan berhubung penganjuran Sukan SEA 2027.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata perkara tersebut penting bagi mengenal pasti kelebihan dan kekurangan penganjuran temasya dwitahunan itu.

"Kita telah mengadakan satu mesyuarat awal dengan Majlis Sukan Negara, saya akan berjumpa dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk kita mulakan perbincangan dan melihat kajian impak untuk kita lihat apa yang akan kita hadapi jika anjurkan atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 'Play True Day' antara KBS dan pemegang taruh utama di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya akan mengeluarkan satu resolusi bagi merayu kepada kerajaan agar penganjuran temasya Sukan SEA 2027 diteruskan mengikut jadual.

Ini susulan kebimbangan kemungkinan kerajaan membuat keputusan tidak menganjurkan temasya itu.

"Kami hanya mahu menyuarakan kegusaran kami bagi memastikan penganjuran temasya Sukan SEA 2027 berjalan dengan lancar. Kami tidak mahu apa yang berlaku kepada temasya Komanwel berulang kerana ia membabitkan imej dan maruah negara," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN