GEORGE TOWN, 30 April - Lebih banyak respons positif berbanding negatif membabitkan penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) daripada kelab-kelab yang akan bersaing pada Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024/2025.
Pegawai Operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata penggunaan VAR sepenuhnya dalam saingan Liga Malaysia musim ini mampu melonjakkan imej bola sepak tempatan.
"Pada masa ini MFL sudah mula bergerak ke beberapa negeri dan itu sebabnya mengapa MFL melakukan kejohanan VAR, pramusim ini. Tujuan utamanya adalah untuk pegawai, pemain, media dan semua warga bola sepak yang terlibat untuk Liga-M bagi musim 2024/2025 untuk merasai pengalaman secara teori dan secara praktikalnya bagaimana VAR dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan taklimat operasi VAR kepada pengurusan dan pemain Penang FC, di Komtar, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata satu tempoh ‘matang’ diperlukan bagi memastikan kesempurnaan sistem VAR itu untuk diadaptasi.
"Penyediaan teknologi baharu memerlukan masa untuk adaptasi selain dari segi operasi, penerbitan, penyiaran dan juga pengguna iaitu pengadil sendiri.
“Saya rasa dalam lapan perlawanan kita anjurkan ini adalah satu keputusan sangat teliti untuk kita menyediakan ruang latihan bagi pengadil, kelab dan juga segi penerbitan penyiaran yang diperlukan,” katanya.