KOTA KINABALU, 30 April- Sabah FC membuka tirai kemenangan Piala SMJ apabila menewaskan Hougang United FC 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Gol pertama Sabah FC muncul pada minit ke-53 menerusi rematan kencang Stuart Wilkin yang menewaskan penjaja gawang Hougang United FC.
Hougang United berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti yang diambil Stjepan Plazonja pada minit ke-70. Tiga minit kemudian, Sabah menjaringkan gol kemenangan melalui Saddil Ramdani.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang ditemui selepas permainan mengakui, meskipun menang, pasukannya masih belum cukup ampuh terutama mengawal situasi di depan gawang.
"Para pemain cuba mendapatkan rentak tetapi masih lagi belum begitu tajam di depan gol namum pada separuh masa kedua kita berjaya mendapatkan dua gol yg amat penting dan untuk bermula dalam Piala SMJ dengan kemenangan merupakan satu perkara yang positif dan selepas ini kita harus bertambah baik,"katanya.
"Saya rasa pemain telah memberikan aksi yang terbaik, bermain menentang Sabah di sini bukan mudah, di Singapura kami jarang bermain di rumput biasa semua padang adalah tiruan dan saya fikir ia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri,"kata Marko Kraljevic, Ketua Jurulatih Hougang United FC.
Perlawanan seterusnya, Sabah FC akan menentang KL City FC pada 1 Mei ini.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, KL City mencatat kemenagan 3-1 ketika berdepan Kuching City FC.
Kuching City terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Pedri Henrique Cortes pada minit ke 29 sebelum KL City menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi Jovan Motika.
KL City menambah jaringan pada minit ke 64 menerusi Paulo Josue sebelum Lazar Sajcic melengkapkan kemenangan menerusi jaringan pada minit akhir perlawanan.