fb fb fb fb fb

Nor Farah Ain tidak percaya bergelar juara dunia

Pemain Bolin Padang Negara, Nor Farah Ain Abdullah/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 April-Atlet boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah, masih tidak percaya meskipun sudah bergelar juara dunia, pada penampilan sulungnya di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, gelaran itu menyemarakkan lagi semangatnya untuk memikul tanggungjawab lebih besar pada kejohanan akan datang.

“Kali pertama mewakili negara di kejohanan yang jauh dan saya rasa macam mimpi lagi walaupun dah menang dan pegang pingat emas.

“Di sana, bukan calang-calang lawan kita tetapi saya tanamkan dalam fikiran, untuk terus bermain saja. Ada rezeki, ada. Yang penting buat terbaik dan Alhamdulillah saya dapat", katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Terdahulu, Nor Farah Ain membantu skuad negara meraih gangsa dalam acara berpasangan campuran, bersama Izzat Shameer Dzulkeple, yang turut menyumbang pingat perak acara perseorangan lelaki.

Pada edisi kali ini, Malaysia meraih masing-masing satu emas, perak dan gangsa.. sekali gus muncul juara keseluruhan kejohanan itu.

Kejayaan Nor Farah Ain turut mendapat pujian Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Hannah yakin skuad boling padang mempunyai atlet yang berpotensi dan mengharapkan mereka sentiasa mendapat sokongan dari pihak Majlis sukan negara.

"Saya hendak ucapkan tahniah kepada Farah Ain.

"Jadi saya tahu daripada pertandingan baru-baru ini memang Boling Padang memang atlet kita ada banyak potensi dan kita ingin pastikan mereka mendapat sokongan daripada Majlis Sukan Negara untuk meneruskan latihan mereka bukan sahaja didalam negara malah di luar negara", kata Hannah di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD