SEPANG, 27 November - Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kecemasan bagi menangani situasi luar jangka, termasuk bencana pada Sukan SEA 2025, Thailand Disember ini.
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata perkara berkenaan diputuskan MSN dan MOM pada mesyuarat tergempar bagi menilai situasi semasa termasuk bencana banjir di salah satu lokasi acara Sukan SEA, Songkhla.
“Di peringkat MSN dan MOM, kami telah mengeluarkan garis panduan SOP kecemasan untuk semua pihak menyemak dan merujuk sekiranya berlaku sebarang insiden semasa Sukan SEA.
“Kami juga telah menyertakan nombor telefon untuk sekretariat dalaman dan luaran, kedutaan, dan agensi keselamatan bagi membolehkan pengurus pasukan, jurulatih dan atlet menghubungi terus pihak berkuasa berkaitan,” ujar beliau kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kontinjen Deaflympics Tokyo 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA 1), hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Menurutnya lagi, MSN bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku sepanjang temasya itu berlangsung.
"Tidak menjejaskan atlet secara keseluruhannya memandangkan mereka masih lagi berlatih di pusat latihan masing-masing.
"Cuma perubahan tempat tu, logistik itu mungkin akan menjejaskan perjalanan di sana nanti. Saya percaya pihak petugas khas akan memilih venue-venue yang berhampiran dengan penginapan yang disediakan bagi membolehkan mereka bertanding dalam keadaan selesa.
"Diperingkat MSN dan OCM kita telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi menyelaraskan tindakan-tindakan yang boleh kita ambil bagi memastikan perpindahan itu tidak menjejaskan persiapan atlet dan pencapaian atlet di sana.
"Secara asasnya, kita telahpun bersetuju dgn pihak OCM untuk membawa atlet-atlet daripada KL ke Bangkok secara penerbangan berbanding cadangan asal sebelum ini ke Songkhla melalui jalan darat.", ujarnya.