SEPANG, 27 November - KBS komited memperkukuh ekosistem sokongan terhadap atlet pekak negara, merangkumi pembangunan bakat, kemudahan latihan dan peluang pertandingan yang lebih kompetitif bagi memastikan kedudukan setara dengan atlet Paralimpik.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim berkata usaha tersebut perlu diperkasakan secara menyeluruh memandangkan sukan untuk atlet pekak mempunyai keperluan khusus yang berbeza, termasuk jika dibandingkan dengan sukan paralimpik.
“Kita di peringkat KBS perlu terus membangunkan program yang menyokong pencarian bakat baharu serta menyediakan ekosistem dan fasiliti latihan yang sesuai.
"Kita sedar cabarannya besar kerana pengurusan sukan pekak di peringkat antarabangsa turut berbeza, namun itu bukan alasan untuk mengabaikan hak atlet kita,” katanya demikian pada Majlis Sambutan Kepulangan Kontinjen Kebangsaan dari Temasya Deaflympic Tokyo di KLIA1, hari ini.
Menurut Adam, kejayaan skuad negara mempertahankan pingat dalam acara karate, badminton dan tenpin boling pada temasya itu membuktikan potensi besar atlet pekak yang wajar terus diberi sokongan berstruktur.
Jelas beliau, kerajaan telah memperuntukkan RM3 juta kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menerusi pembentangan belanjawan pada 10 Oktober lalu untuk pembangunan serta penyediaan fasiliti sukan golongan berkenaan.
"Ini masih lagi cabaran kerana di peringkat antarabangsa ada cara mengurus yang berbeza, tetapi kita tak boleh lihat ini sebagai alasan untuk memastikan atlet pekak negara agar diberikan layanan sama."
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa pemenang pingat Deaflympic akan menerima imbuhan RM80,000 bagi pingat emas, RM40,000 bagi pingat perak dan RM20,000 bagi gangsa sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
"Kita akan pastikan untuk terus bantu dan sokong tanpa diskriminasi walaupun praktik di peringkat antarabangsa berbeza", ujarnya.
Malaysia menutup kempen Deaflympics 2025 dengan satu emas (beregu lelaki boling), dua perak (karate kumite individu lelaki bawah 84 kilogram dan beregu wanita boling) serta satu gangsa (beregu campuran badminton).