IPOH, 27 November - Skuad hoki lelaki negara sekali lagi mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31 pada Rabu.
Kali ini pasukan Belgium meranapkan impian pasukan negara dengan kemenangan 9-1.
Pada perlawanan tersebut, Belgium berada di depan seawal minit ke-8 menerusi pukulan sudut penalti Tom Boon.
Thomas Crols kemudian menjadikan kedudukan 2-0 hasil gol padang pada minit ke-11.
Skuad negara kemudiannya merapat jurang menerusi jaringan oleh Faizal Saari pada minit ke-13.
Kegembiraan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila pasukan di ranking ketiga dunia itu menambah gol ketiga sebelum suku pertama berakhir.
Bersambung suku kedua permainan, 'Red Lions terus menguasai perlawanan dengan gol padang Roman Duvekot pada minit ke-24 disusuli gol pukulan penalti Alexander Hendrickx selang tiga minit kemudian.
Tommy Willems menghasilkan gol keenam menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-30 bagi menambah luka Speedy Tigers.
Pesta jaringan Belgium diteruskan oleh Tom Boon yang sekali lagi menyempurnakan pukulan penalti buat Belgium pada minit ke-38 sebelum Victor Foubert menghasilkan gol padang tiga minit kemudian.
Roman Duvekot menutup pesta jaringan Belgium dengan jaringan kesembilan enam minit sebelum permainan tamat.
Sementara itu, ketua jurulatih negara, Sarjit Singh berpendapat kekalahan itu seharusnya dijadikan pengajaran oleh anak-anak buahnya dalam memperbaiki setiap aspek kelemahan.
“Kita tahu ini adalah perlawanan yang sangat baik, meskipun keputusan 9-1. Belgium bermain dengan baik, jadi ia tetap positif.
"Sekurang-kurangnya pemain kita tahu tahap kita berbanding mereka. Jadi, kita perlu bekerja keras, memperkukuh asas permainan, dan menggerakkan bola seperti Belgium, di mana jika tiada ruang, mereka memindahkan bola ke belakang", katanya yang ditemui media selepas perlawanan di sini.
Dalam pada itu, jurulatih Belgium, Shane McLeod pula menghamburkan pujian terhadap persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh para pemainnya.
Jelas Mcleod, keserasian para pemain ketika latihan berjaya dipamerkan pada perlawanan menentang Malaysia.
“Kami telah bekerjasama dengan satu kumpulan yang sangat tekun dalam apa yang mereka cuba lakukan, dan malam ini semuanya berjaya digabungkan pada masa yang sama.
"Jadi, kami sangat gembira dengan prestasi pasukan kami. Ini juga sebahagian daripada perkara yang telah kami cari dan cuba bina, dan malam ini saya rasa kami bermain dengan sangat baik.” katanya.
Malaysia akan berdepan Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Sabtu manakala Belgium akan berdepan cabaran pasukan ranking ke-10 dunia, New Zealand.