fb fb fb fb fb

10 acara Sukan SEA dipindahkan dari Songkhla ke Bangkok akibat banjir

Foto Facebook SEA GAMES Thailand 2025

KUALA LUMPUR, 28 November -Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-33 meluluskan pemindahan 10 acara dari Songkhla ke Bangkok susulan banjir teruk yang menjejaskan kesiapsiagaan venue di wilayah selatan Thailand.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat 2/2025 Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN yang dipengerusikan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Atthakorn Sirilatthayakon.

Mesyuarat turut dihadiri Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand, Dr. Kongsak Yodmanee, wakil persatuan sukan serta pegawai berkaitan.

Menurut penganjur, Songkhla yang sepatutnya menjadi tuan rumah bersama temasya dari 9 hingga 20 Disember 2025 mengalami kerosakan akibat banjir, sekali gus menjejaskan tahap kesiapsiagaan venue.

"Pemindahan yang diluluskan melibatkan acara Muay Thai, bola sepak lelaki (pusingan kelayakan), catur, kabaddi, wusyu, pencak silat, judo, petanque, karate dan gusti.

Semua acara tersebut kini dipindahkan ke beberapa venue di sekitar Bangkok termasuk Stadium Tinju Lumpinee, Stadium Nasional Rajamangala, IMPACT Arena Muang Thong Thani dan Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana," katanya.

Perkembangan tersebut dimaklumkan dalam satu hantaran di Facebook SEA GAMES Thailand 2025.

Selain itu, acara biliard dan snuker yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Chonburi turut dipindahkan ke Thunder Dome, Muang Thong Thani.

Jawatankuasa berkenaan menegaskan bahawa langkah ini bagi memastikan keselamatan atlet, pegawai dan penonton, serta mengekalkan standard penganjuran temasya.

Thailand turut memberi jaminan bahawa perubahan venue tidak menjejaskan persiapan keseluruhan dan komited menganjurkan Sukan SEA ke-33 dengan teratur serta bertaraf antarabangsa.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN