fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Status penyertaan Muhaizar masih samar

Pelari Maraton negara, Muhaizar Mohamad/Foto RTM

Putrajaya, 13 Julai - Pelari maraton negara, Muhaizar Mohamad, masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung penyertaannya ke Sukan SEA 2025 di Thailand, yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.

Menurut Muhaizar, beliau kini menunggu maklum balas daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berkaitan status kelayakannya ke temasya dwitahunan itu.

“Sukan SEA saya pun tak pasti lagi.Untuk kelayakan ke Sukan SEA, belum ada maklum balas rasmi daripada pihak KOM atau MSN,” katanya ditemui selepas acara Score Marathon 2025 di sini hari ini.

Pemenang dua pingat gangsa Sukan SEA itu menjelaskan, keputusan akhir mengenai pemilihannya dijangka hanya akan diketahui selepas Kejohanan Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung Ogos depan.

“Saya tak berani nak cakap sama ada saya akan pergi atau tidak. Kita tunggu keputusan terbuka Malaysia nanti. Biasanya, keputusan peserta perlu dihantar tiga bulan sebelum Sukan SEA, jadi kita tengok macam mana nanti", ujarnya.

Dalam pada itu, Muhaizar turut mengakui bahawa saingan dalam acara maraton di temasya kali ini dijangka lebih mencabar, apatah lagi dengan faktor cuaca di Thailand yang sukar dijangka.

“Memang agak mencabar nak dapatkan pingat emas. Tapi tak mustahil. Kadang tempat sejuk, cuaca panas… atlet negara lain boleh buat laju. Kita tak boleh jangka.” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD