fb fb fb fb fb

Isu tunggakan gaji KDN FC, Rezal beri tempoh sehingga Selasa ini

Bekas Ketua jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC)/Foto RTM

KOTA BHARU, 13 Julai – Bekas ketua jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya memberi tempoh sehingga Selasa ini kepada pengurusan bekas kelabnya untuk menyelesaikan isu tunggakan gajinya dan pemain pasukan berkenaan, sebelum membawa perkara itu ke pengetahuan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Rezal berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas rundingan selama beberapa bulan gagal menemui jalan penyelesaian.

Ini termasuk tiga cadangan yang dikemukakan pihak pengurusan tetapi ditolak kerana dianggap tidak munasabah.

“Ada pemain sampai tiga kali dah jumpa, masih lagi benda yang sama. Saya rasa ini bukan satu tindakan yang bagus.

"Bukan serius menyelesaikan masalah. Cuma berulang-ulang tawaran yang sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Rezal, wujud layanan berat sebelah apabila kes tunggakan pemain import diberikan lebih perhatian berbanding pemain tempatan, berikutan aduan yang telah sampai ke FIFA dan boleh menyebabkan sekatan perpindahan pasukan.

Rezal bersama sekumpulan bekas pemain turut mengemukakan cadangan balas dan menegaskan mereka tidak akan berdiam diri sekiranya pengurusan kelab terus mengelak daripada menyelesaikan perkara itu secara tuntas.

“Kita tak nak panjangkan benda ni. Kalau dia tak setuju, tak apalah. Kita akan pergi kepada Jawatankuasa Status dan kita mengharapkan juga supaya pihak FAM melihat perkara ini sebagai serius dan mempercepat prosiding,” katanya.

Selain isu gaji, Rezal turut mendakwa telah menggunakan wang peribadi berjumlah hampir ratusan ribu ringgit bagi membantu operasi pasukan sejak September lalu, dan mendesak pengurusan kelab melunaskan hutang terbabit.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD