KUALA LUMPUR, 13 Julai - Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) komited memastikan penganjuran Anugerah SAM-100PLUS 2024 kekal berkualiti dan berprestij dalam menghargai jasa atlet serta memartabatkan peranan media sukan tanah air.
Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berkata, anugerah berkenaan bukan sahaja mengiktiraf pencapaian atlet negara, malah menjadi bukti sokongan berterusan media terhadap perjuangan mereka.
“Setiap pencapaian yang telah dikecapi pasti akan ada ganjarannya. SAM sentiasa meraikan mereka yang telah mengharumkan nama negara, tetapi pada masa yang sama, inisiatif ini turut menyasarkan lebih ramai atlet muda,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pemilihan pemenang dibuat berdasarkan pelbagai kriteria selepas perbincangan bersama pelbagai pihak, termasuk pertimbangan pencapaian atlet muda dan bukan hanya atlet elit.
Majlis anugerah yang bakal berlangsung pada 14 Julai di Sunway Resort Hotel akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Tumpuan utama terarah kepada Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2024.
Antara calon utama bagi kategori Atlet Terbaik termasuk Sin Li Jane (tenpin boling), Nur Farah Ain Abdullah (boling padang), Tan Cheong Min (wushu), Soh Wai Chin (pelari menara), serta pasangan beregu badminton negara, Aaron Chia – Soh Wooi Yik.
Bagi kategori Atlet Para Terbaik, persaingan dijangka sengit antara Cheah Liek Hou (para badminton) dan Bonni Bunyau Anak Gusti (powerlifting), masing-masing memburu gelaran ketiga sejak kategori itu diperkenalkan pada 2017. Turut tersenarai ialah Muhd Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh), dan Eddy Bernard (lari pecut).
Kedua-dua pemenang utama akan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.
Anugerah SAM-100PLUS 2024 turut meraikan sumbangan entiti sukan negara. Johor Darul Ta’zim (JDT) diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas atas impak luar biasa kelab itu terhadap pembangunan bola sepak Malaysia.
Manakala Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dinobatkan penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.
Sementara itu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menerima pengiktirafan Tokoh Kepimpinan Sukan atas sumbangan membangunkan bola sepak negara dari akar umbi ke pentas antarabangsa.
Perenang muda sensasi, Muhd Dhuha Zulfikry, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik selepas mencipta lima rekod kejohanan dan memadam rekod kebangsaan 1,500 meter gaya bebas lelaki yang bertahan selama 35 tahun dalam SUKMA 2024 di Sarawak.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden SAM, Izahar Atan turut menzahirkan penghargaan kepada rakan strategik dan penaja utama, 100PLUS.
“100PLUS sentiasa komited dalam penganjuran majlis ini setiap tahun. SAM juga sentiasa terbuka menerima penaja baharu untuk bekerjasama dalam pelbagai inisiatif lain demi memeriahkan dan menaikkan lagi imej industri sukan negara,” katanya.
Edisi kali ini turut menyaksikan peningkatan jumlah hadiah wang tunai bagi Anugerah Siebel iaitu anugerah tertinggi kewartawanan sukan kepada RM10,000 berbanding RM7,000 sebelum ini.
Kategori Pengulas Sukan Popular juga ditambah baik dengan hadiah RM3,000 berbanding RM1,500 sebelum ini.
Anugerah media dibahagikan kepada enam kategori utama: Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang terbaik keseluruhan akan menerima Anugerah Siebel.