fb fb fb fb fb

SCORE Marathon cipta rekod baharu, tarik 33,000 peserta dari 48 negara

Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan /Foto RTM

PUTRAJAYA, 13 Julai - SCORE Marathon 2025 mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat penyertaan tertinggi sejak penganjurannya, dengan seramai 33,000 pelari dari 48 negara mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung di sini hari ini.

Penganjuran edisi ke-12 ini turut meraih pengiktirafan antarabangsa apabila buat julung kalinya diiktiraf sebagai World Athletics Label Road Race, menjadikannya antara tiga sahaja acara larian di Malaysia yang memiliki status berprestij tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan berkata peningkatan penyertaan tahun ini mencerminkan minat yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat terhadap gaya hidup sihat dan aktif.

“Kali ini adalah kali ke-12 SCORE Marathon dianjurkan, dan kami berjaya capai 33,000 peserta. Yang paling ramai sekarang ialah kategori 21KM ini menunjukkan ramai pelari dah ‘level up’. Ramai juga yang berjaya capai masa terbaik (Personal best) tahun ini,” katanya selepas acara SCORE Marathon 2025 di sini.

Menurut beliau, peningkatan sebanyak 36 peratus berbanding 25,000 pelari pada tahun 2024 membuktikan acara itu terus mendapat perhatian dunia.

Jelas beliau, sasaran 33,000 peserta yang ditetapkan tahun ini juga berjaya dicapai, dengan kehadiran pelari dari negara seperti Jepun, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Tahun lepas kita dapat 25,000 jadi kita letak sasaran 33,000 untuk tahun ni dan kita berjaya capai sasaran. Kita ada peserta dari 48 negara termasuk Jepun, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Singapura.”

Empat kategori ditawarkan dalam acara ini iaitu 5KM, 10KM, 21KM dan 42KM menjadikannya sesuai untuk semua peringkat pelari, daripada peserta rekreasi hinggalah ke atlet elit.

“Misi kami jelas kami nak galakkan lebih ramai orang amalkan gaya hidup sihat dan aktif. Tahun ini kami diiktiraf sebagai World Athletics Label Road Race untuk kali pertama, jadi tahun depan kami nak jemput lebih ramai pelari elit dan sediakan pengalaman kelas dunia kepada semua peserta", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD