fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Skuad kabaddi sasar dua emas

Skuad kabaddi negara menetapkan sasaran tinggi untuk membawa pulang dua pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November – Skuad kabaddi negara menetapkan sasaran tinggi untuk membawa pulang dua pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.

Ketua jurulatih skuad kabadi negara, M. Palaniandy berkata sasaran itu disandarkan kepada keyakinan bahawa pasukan lelaki dan wanita mampu menguasai acara three stars (tiga pemain setiap pasukan), yang buat pertama kali dipertandingkan dalam temasya dwitahunan tersebut.

1411 SKN SKUAD KABADDI SEA GAMES 2Ketua jurulatih skuad kabadi negara, M. Palaniandy/BERNAMA

“Kami kini fokus mengelakkan kecederaan kerana latihan sudah memasuki fasa akhir. Setakat ini, semua atlet berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Latihan kecergasan juga berjalan lancar,” katanya.

Palaniandy berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025, Nazmizan Muhammad di Majlis Sukan Negara, di sini hari ini.

Menurutnya, skuad negara telah menjalani persiapan sejak April, termasuk latihan intensif selama 40 hari di dua lokasi di India iaitu di Puducherry dan Haryana yang dianggap memberikan kelebihan besar kepada pasukan.

“Latihan di India memberi banyak pengalaman dan ilmu baharu kerana India merupakan kuasa besar kabaddi. Atlet dan pegawai memperoleh pendedahan penting untuk memburu emas di Thailand,” katanya.

Beliau turut menjangkakan Thailand bakal menjadi pencabar utama dalam misi meraih pingat emas pada edisi kali ini.

Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Disember.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN