fb fb fb fb fb

Karate negara sasar tiga emas di Sukan SEA 2025

Skuad karate negara kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi untuk mencapai sasaran tiga pingat emas/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November – Skuad karate negara kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi untuk mencapai sasaran tiga pingat emas seperti ditetapkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) bagi Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.

Ketua jurulatih kebangsaan, R. Sharmendran yang pernah merangkul emas kategori bawah 75 kilogram (kg) lelaki pada empat edisi Sukan SEA berturut-turut (2017–2023) berkata tanggungjawabnya sebagai jurulatih tidak banyak berbeza berbanding ketika bergelar atlet.

1411 SKN KARATE 3 EMAS 2Ketua jurulatih kebangsaan, R. Sharmendran/BERNAMA

“Saya rasa tiada beza. Sebagai jurulatih, kami tetap pergi untuk menang, sama seperti ketika menjadi atlet. Pada akhirnya, semuanya demi negara, bukan kepentingan peribadi. Siapa pun yang menang, kemenangan itu tetap untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025, Nazmizan Muhammad, di sini hari ini.

Sementara itu, atlet negara S. Prem Kumar bertekad mempertahankan pingat emas kategori bawah 55kg kumite lelaki, selain mahu membantu skuad negara merampas semula emas kumite berpasukan lelaki yang tewas tipis 2-3 kepada Vietnam pada edisi lalu di Phnom Penh.

1411 SKN KARATE 3 EMAS 3S. Prem Kumar/BERNAMA

“Sasaran saya sudah tentu untuk menang. Tahun ini, jika berpeluang, saya mahu meraih kedua-duanya, individu dan berpasukan. Pada pandangan saya, pasukan kami telah menunjukkan prestasi yang baik, dan keputusan nanti akan mencerminkan persembahan tersebut,” katanya.

Atlet berusia 31 tahun itu turut menegaskan fokus utamanya adalah pada persiapan sendiri, tanpa memberi tumpuan kepada potensi pencabar menjelang Sukan SEA 2025.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN