KUALA LUMPUR, 14 November – Atlet lompat kijang Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dayang Shari Uluk meneruskan prestasi cemerlang apabila menamatkan saingan Grand Final Varsity Track & Field Championship 2025 dengan catatan 11.94 meter, dalam persaingan sengit membabitkan wakil universiti seluruh negara.
Dayang, yang sebelum ini meraih pingat gangsa SUKMA XX dalam acara sama dengan jarak 11.53 meter, mengakui keputusan hari ini masih belum menandingi rekod peribadi terbaiknya.
Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan pencapaian tersebut memandangkan cabaran mengimbangi jadual latihan dan komitmen akademik sepanjang musim.
Dayang Shari Uluk/RTM
“Lompatan semua tadi saya rasa ok je sebab dengan sibuknya kami tadi, dapat lagi kira perform baik juga lah. Ini berbaloi jugaklah walaupun pencapaian masih average, dengan busynya saya dapat balancekan, jadi bagi saya ini dah berbaloilah,” katanya kepada pemberita.
Selain kejayaan di pentas SUKMA, atlet kelahiran Sabah itu turut pernah muncul naib johan lompat jauh wanita pada Sirkit Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2/2025 dengan catatan 5.12 meter, sekali gus menunjukkan keupayaan beliau menguasai lebih daripada satu disiplin lompatan.
Sebagai pelajar tahun akhir, Dayang melihat penyertaan dalam kejohanan varsiti ini sebagai antara peluang terakhirnya di peringkat universiti.
Beliau kini menetapkan fokus baharu untuk layak bertanding di Asean University Games (AUG), yang dianggap sebagai kemuncak karier varsitinya sebelum bergelar graduan.
Dayang yakin platform antarabangsa itu akan membuka lebih banyak ruang untuk menguji kemampuan diri, sekaligus mengangkat nama universiti dan negeri dalam arena olahraga.