fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Mirabel dan Jeneath prospek utama pingat golf negara

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Dua pemain wanita berbakat besar, Mirabel Ting dan Jeneath Wong dilihat sebagai antara prospek terbaik negara untuk menyumbang pingat dan menaiki podium dalam acara golf bagi temasya Sukan SEA 2025 di Thailand yang bakal berlangsung pada Disember.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, proses pemilihan tersebut dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang mereka.

SASARAN GOLF 1 1Mirabel Ting (kiri) dan Jeneath Wong (kanan)

"Kami sedang menjalankan proses pemilihan dengan teliti bagi memilih pemain-pemain yang berpotensi untuk membawa Malaysia ke podium dalam acara golf pada Sukan SEA akan datang. Ketika ini, kami mempunyai Mirabel Ting, yang berada di kedudukan kedua dunia dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR). Jeneath Wong turut menjadi sandaran, selepas mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama memenangi Kejohanan Golf Amatur Wanita Asia Pasifik tahun lalu.

"Kedua-dua pemain ini dilihat setanding dan mempunyai keupayaan tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Ketika ini, kami sedang menilai beberapa pemain untuk memilih tiga wakil negara ke Sukan SEA, namun dua daripadanya akan memainkan peranan penting dalam menentukan mata dan kedudukan pasukan," katanya kepada pemberita selepas sidang media bagi Penganjuran Kejohanan TSM Golf 2025, di sini, hari ini.

SASARAN GOLF 2 2Nathan Wong (kiri) dan Anson Yeo (kanan)

Dalam perkembangan sama, dua nama yang menarik perhatian bagi kategori lelaki adalah Anson Yeo dan Nathan Wong, yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam kejohanan Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM).

Mengulas mengenai senarai jurulatih ke Sukan SEA, Tan Sri Mohd Anwar berkata, senarai tersebut akan diumumkan selepas senarai pemain yang akan mewakili Malaysia disahkan.

Setiap pemilihan yang dilakukan amat penting susulan format pertandingan dalam temasya tahun ini hanya akan menggunakan format 'permainan pukulan' (stroke play) sepenuhnya berbanding edisi-edisi terdahulu yang turut melibatkan format 'permainan perlawanan' (match play).

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE