fb fb fb fb fb

Cabaran Golf Amal TSM Ke-14: Asah bakat muda golf Malaysia

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Kejohanan Cabaran Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (TSM) edisi ke-14, disasarkan sebagai platform untuk mencari bakat muda lelaki dan wanita bawah umur 21 tahun selain memperoleh pendedahan di peringkat kebangsaan.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, acara yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 19 Jun, antara kejohanan berprestij sukan golf bagi kategori junior sebelum mereka melebarkan sayap ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kami menganjurkan satu-satunya kejohanan yang boleh dikategorikan sebagai 'blue ribbon tournament' yang sangat berprestij untuk pemain-pemain golf junior di Malaysia."

"Persatuan Golf Malaysia (MGA) berharap cabaran ini dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya selepas sidang media bagi Penganjuran Kejohanan TSM Golf 2025 di sini, hari ini.

Jelasnya, seramai 85 pemain muda bawah 21 tahun, terdiri daripada 50 lelaki dan 35 wanita, akan bersaing dalam kejohanan kali ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

Sementara itu, biasiswa akademik bernilai RM133,000 turut ditawarkan kepada 10 pemain terbaik kategori lelaki dan wanita dalam kejohanan kali ini.

"Pemenang akan menerima biasiswa yang akan digunakan sama ada untuk menyambung pengajian dalam bidang golf atau melanjutkan pelajaran mereka. Biasiswa tersebut akan diurus dan diselia oleh MGA", katanya.

Kejohanan ini juga bakal menyaksikan juara bertahan edisi ke-13, Mirabel Ting yang kini menduduki ranking kedua dunia dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR), kembali menyertai acara itu bagi mempertahankan gelarannya.

Mengulas lanjut mengenai liga junior, Tan Sri Mohd Anwar berkata, seramai 26 pemain golf junior dari Malaysia telah dipilih untuk menyertai kejohanan berprestij di peringkat Asia Tenggara.

"Junior elit yang kita ada sekarang terdiri daripada 26 pemain yang telah dipilih untuk mewakili negara. Mereka telah dihantar untuk menyertai kejohanan penting di peringkat Asia Tenggara sebagai usaha memberi pendedahan antarabangsa. Berdasarkan penilaian yang telah kami jalankan, pendekatan ini terbukti berkesan."

"Apabila pemain junior negara berpeluang bertanding di peringkat luar negara, kita dapat lihat peningkatan ketara dalam keyakinan diri mereka serta kefahaman terhadap format dan tahap pertandingan."

"Apabila mereka berdepan dengan pemain elit dari Asia Tenggara, prestasi mereka jelas menunjukkan peningkatan yang membanggakan," katanya.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE