fb fb fb fb fb

Kim Sang Sik akui sukar baca kekuatan baharu Harimau Malaya

Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang Sik/FB FAM

KUALA LUMPUR, 9 Jun- Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang Sik menyifatkan aksi bertemu Malaysia dalam Kelayakan Piala Asia 2027 malam esok, sebagai ujian paling getir buat pasukannya, setakat ini.

Jelasnya, bermain di gelanggang lawan bukan sesuatu yang mudah, namun beliau tetap yakin dengan tahap persiapan dan semangat pasukan.

"Sama ada kami mempunyai banyak maklumat atau tidak, keputusan tetap bergantung kepada cara kami bermain. Vietnam juga menunjukkan prestasi baik menentang Malaysia sebelum ini,

Jadi, semua pemain termasuk Duy Manh sedang membuat persiapan rapi. Keputusan hanya akan diketahui selepas perlawanan, tetapi apa jua keputusan tetap bergantung kepada usaha kami sendiri," kata Kim kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pemberita pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Kim turut mengakui kekangan untuk menilai kekuatan sebenar skuad Harimau Malaya, terutamanya selepas kemasukan pemain berdarah warisan yang masih kurang dikenali.

Beliau bagaimanapun menegaskan skuad Vietnam akan turun dengan perancangan tersendiri serta pendekatan positif meskipun berdepan tekanan tinggi.

Berdasarkan rekod, Kim Sang Sik sebelum ini membimbing ASEAN All Stars menewaskan Manchester United 1-0 di Bukit Jalil dalam aksi persahabatan Piala Cabaran Maybank, tempoh hari.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM