fb fb fb fb fb

Harimau Malaya bersedia, pengalaman pemain warisan tonik lawan Vietnam

Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski (kiri) dan kapten Harimau Malaya, Matthew Davies (kanan)/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Jun- Skuad Harimau Malaya tekad mempamerkan aksi terbaik bagi memburu kemenangan ke atas Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, malam esok.

Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski menjelaskan segala persiapan telah dilakukan termasuk aspek fizikal, mental dan taktikal permainan untuk memastikan pasukan bersedia sepenuhnya.

Lebih menarik, skuad kali ini diperkuat dengan kehadiran lima pemain berdarah warisan yang beraksi di luar negara dan dianggap antara aset terbaik skuad negara ketika ini.

"Kami telah membuat persiapan yang baik dan turut membawa masuk beberapa pemain baharu yang berdarah Malaysia. Mereka hadir dengan penuh kebanggaan dan jelas menzahirkan semangat itu setiap kali sesi latihan.

Skuad ini ibarat satu keluarga besar yang harmoni dan kami tidak sabar untuk menurunkan mereka dalam perlawanan malam esok," kata Cklamovski kepada pemberita, hari ini.

Cklamovski ditemui pemberita pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Malaysia ketika ini berada di kedudukan kedua kumpulan selepas menang 2-0 ke atas Nepal manakala Vietnam menerajui Kumpulan F hasil kemenangan besar 5-0 ke atas Laos.

Kemenangan ke atas Vietnam bakal melonjakkan Malaysia selaku pendahulu kumpulan sebelum perlawanan terakhir menentang Laos.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM