fb fb fb fb fb

Ogier rangkul gelaran kelima di Rali Itali

Foto Reuters

SARDINIA, 9 Jun -Pemandu Toyota, Sebastien Ogier, muncul juara Rali Itali buat kali kelima selepas menewaskan pesaing utama dari pasukan Hyundai, Ott Tanak, dengan kelebihan 7.9 saat dalam penamat mendebarkan di Sardinia, Ahad.

Pemandu Perancis itu bersama juru arah, Vincent Landais menamatkan saingan 16 peringkat dalam masa 3 jam 34 minit 24.5 saat, sekali gus menghadiahkan kemenangan ketiga musim ini buat Toyota.

Ogier, juara dunia lapan kali menebus kekalahan tipis musim lalu kepada Tanak yang ketika itu meraih kemenangan selepas Ogier mengalami tayar pancit di peringkat akhir.

Namun, walaupun mendahului dengan kelebihan 17.1 saat menjelang peringkat Wolf Power Stage, Ogier nyaris kehilangan gelaran apabila tersasar di selekoh tajam dan terpaksa mengundurkan kereta, menyebabkan jurang pendahuluannya mengecil.

"Dalam laluan berlubang, kereta langsung tak boleh membelok, jadi saya pilih untuk berhenti dan undurkan kereta daripada paksa lalu," kata Ogier.

Kemenangan ketiganya musim ini selepas Rali Portugal meletakkan Ogier kembali dalam persaingan kejuaraan manakala Toyota semakin kukuh dalam carta pengeluar.

Tanak terus memberikan saingan sengit di peringkat akhir, namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala juara bertahan dunia, Kalle Rovanpera, melengkapkan podium di tempat ketiga.

Rakan sepasukan Toyota, Elfyn Evans dan Takamoto Katsuta masing-masing mengakhiri perlumbaan di tempat keempat dan kelima.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM