MUNICH, 9 Jun- Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, tidak dapat menahan air mata apabila memimpin negaranya menjuarai Liga Negara UEFA buat kali kedua, awal pagi tadi.
Perlawanan tamat menerusi penentuan penalti yang mendebarkan, dengan Portugal menang 5-3.
Perlawanan di Stadium Munich itu berakhir 2-2 selepas masa tambahan, dengan jaringan antarabangsa ke-138 Ronaldo membawa perlawanan ke penentuan penalti.
Sepakan penalti Alvaro Morata yang tersasar memberi kelebihan kepada Portugal, sebelum Ruben Neves menyempurnakan penalti kemenangan, mencetuskan suasana penuh emosi buat skuad kendalian Roberto Martinez.
Sepanyol sebelum ini tampil dengan rekod tanpa kalah sejak Mac 2023 dan tampak berada di landasan tepat untuk menambah satu lagi kejuaraan selepas menjuarai Kejohanan Eropah tahun lalu.
Martin Zubimendi membuka tirai jaringan buat Sepanyol pada minit ke-21, namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Nuno Mendes menyamakan kedudukan menerusi gerakan menarik hasil umpanan Ronaldo.
Gol kedua Sepanyol hadir menerusi rembatan Mikel Oyarzabal selepas menerima hantaran cantik daripada Pedri.
Namun, Ronaldo sekali lagi menjadi penyelamat Portugal apabila menyamakan kedudukan buat kali kedua pada minit ke-61.
Ronaldo kemudian terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan di penghujung perlawanan dan kedua-dua pasukan gagal mencari jaringan kemenangan dalam masa tambahan.
Portugal tenang dalam penentuan penalti apabila berjaya menyempurnakan kelima-lima sepakan manakala Sepanyol terpaksa akur selepas sepakan Morata gagal disempurnakan.- REUTERS